Microsoft telah memperkenalkan fungsi aplikasi Android untuk Windows 11 ketika Windows 11 diumumkan baru-baru ini. Fungsi menggunakan aplikasi Android berkenaan juga dikatakan tidak terhad pada build Windows 11 tertentu.
Bagaimanapun, untuk menggunakannya buat masa ini memerlukan beberapa syarat yang perlu dipenuhi selain dari menyertai Windows Insider Preview Programme. Menurut Microsoft, sokongan aplikasi Android hanya terdapat menerusi Beta Channel dan seterusnya akan memasuki Dev Channel.
Selain itu, peranti anda juga perlu ditetapkan wilayahnya kepada Amerika Syarikat (US).
Anda juga perlu mengaktifkan virtualization untuk BIOS atau UEFI PC anda. Malah, anda juga hanya dibenarkan untuk memuat turun aplikasi Android berkenaan jika memiliki akaun Amazon beralamat di Amerika Syarikat.
Tidak ketinggalan, anda juga perlu memiliki PC yang memenuhi syarat spesifikasi Windows 11 iaitu sekurang-kurangnya pemprosesan Intel Core i3 generasi ke-8, AMD Ryzen 3000 atau Qualcomm Snapdragon 8c. Selain minima RAM 8 GB dan menggunakan SSD.
Microsoft masih belum mnegesahkan bilakah rancangannya untuk memperkenalkan sokongan aplikasi Android pada Beta Channel ini ke peringkat global. Tiada juga kata putus mengenai garis masa pelaksanaan untuk membawakan Amazon Appstore ke seluruh pengguna Windows 11.
Apa pun, pengumuman pada hari ini merupakan langkah pertama membawakan sokongan aplikasi Android ke Windows 11. Terdapat 50 buah aplikasi yang boleh diuji menerusi Beta Channel Windows 11 berkenaan.