logo transparent
logo transparent
10 perkara baru di MacBook Pro 2021
Dalam majlis pelancaran Apple Unleashed, selepas melancarkan fon telinga Airpods 3, Apple memperkenalkan pula barisan komputer riba terbaik mereka yang baru, MacBook Pro 14 dan MacBook Pro 16. Seperti namanya, ia memiliki skrin seluas 14-inci dan 16-inci, dan menerima kuasa pemproses serba baharu, dinamakan cip Apple M1 Pro dan M1 Max. Ada banyak beza antara MacBook baru yang dilancarkan tahun ini, berbanding MacBook Pro sebelum ini. Kami ringkaskan kepada 10 perkara yang anda perlu tahu.

1. Cip baru Apple M1 Pro dan M1 Max

  Cip pemproses Apple M1 telah diperkenal di laptop MacBook Air dan MacBook Pro 13 pada tahun lepas. Kali ini, Apple meningkatkan lagi kehebatan cip mereka dengan melancarkan M1 Pro dan M1 Max. Menurut Apple, cip ini menawarkan 70% prestasi CPU lebih tinggi dan sehingga 4x prestasi GPU lebih baik berbanding Apple M1.  
  Untuk M1 Pro, ia disediakan dalam pilihan 8-teras atau 10-teras, dengan pilihan GPU antara 14-teras atau 16-teras. Ia juga hadir bersama Enjin Neural 16-teras untuk memproses AI dengan lebar jalur memori 200GB/s.
Cip ini dihasilkan menerusi proses 5nm dengan 33.7 bilion transistor di dalamnya, dua kali lebih banyak berbanding cip M1. Apple turut menyatakan bahawa cip M1 Pro memberi 1.7x lebih prestasi CPU dengan menggunakan 70% kurang tenaga, berbanding cip di laptop PC terbaru 8-teras di tahap tertingginnya.  
  Bagi M1 Max pula, Apple mengatakan ia adalah cip laptop paling berkuasa di dunia. Dibina berasaskan proses 5nm, ia memuatkan sebanyak 57 bilion transistor, paling banyak dalam cip buatan Apple. Cip Apple M1 Mac datang dengan CPU 10-teras bersama GPU 32-teras. Apple menambah, M1 Max menawarkan prestasi grafik setara dengan GPU kelas atasan di laptop PC dengan penggunaan tenaga 100W lebih rendah. Jalur lebar memori pula setinggi 400GB/s.  

2. RAM sehingga 64GB, SSD sehingga 8TB

  Pada MacBook Air dan MacBook Pro M1 yang dilancarkan tahun lepas, tawaran RAM disediakan sehingga 16GB dan storan SSD sehingga 2TB sahaja. Dalam laptop baru ini, Apple menaikkan lagi had dengan menawarkan RAM sehingga 64GB dan storan SSD sehingga 8TB. Ini adalah tawaran yang sama dengan MacBook Pro 16 berasaskan cip Intel.  
  Bagi pilihan asas, MacBook Pro 14 dan MacBook Pro 16 datang dengan RAM 16GB dan SSD 512GB. Untuk varian M1 Max pula, ia ditawarkan dari serendah RAM 32GB dan SSD 512GB.  

3. Paparan Liquid Retina XDR ProMotion 120hz

 
  Naik taraf besar selepas pemproses adalah pada paparan. Ia kini dilengkapi mini-LED dengan Liquid Retina XDR. Tahap kecerahannya juga sekali ganda lebih tinggi dari sebelumnya, dengan 1,000nits dan tertinggi 1,600nits, serta nisbah kontras 1,000,000:1 dan berbilion warna. MacBook Pro 14 memiliki skrin sebesar 14.2-inci dengan resolusi 3,024×1,964 piksel, lebih banyak dibandingkan dengan MacBook Pro 16 dahulu (3,072×1,920). Bagi MacBook Pro 16 baru, skrinnya seluas 16.2-inci dibekalkan 3,456×2,234 piksel.  

4. Kamera FaceTime HD 1080p di dalam takuk

 
  Perkara baru yang mungkin paling tidak disenangi adalah takuk di paparan MacBook Pro 14. Ia terpaksa dilakukan untuk memberikan bingkai nipis sambil memuatkan kamera resolusi tinggi, FaceTime HD 1080p. Bagaimanapun, dengan takuk ini ia masih tidak memberikan fungsi Face ID seperti yang ada di iPhone dan iPad Pro.  

5. Tiada lagi Touch Bar

  Skrin kecil Touch Bar pelbagai guna diperkenalkan pertama kali di MacBook Pro 2016. Selepas 5 tahun, Apple mengambil keputusan untuk tidak lagi menggunakannya di dalam MacBook Pro baharu. Ia digantikan dengan kunci fizikal di baris teratas tetapi masih mengekalkan pengimbas capjari di butang kanan atas. Papan kekunci Magic Keyboard berlampu ini dipadankan dengan trackpad Force Touch yang sangat besar dan ia adalah salah satu trackpad terbaik boleh ditemui di laptop.  

6. Kembalinya port HDMI dan slot kad memori

  Model lama MacBook Pro hanya ada port USB-C, bermakna pengguna perlu menggunakan USB dongle untuk akses ke port lain seperti HDMI dan kad memori. Tetapi Apple mengubahnya di dalam MacBook Pro baru ini dengan memasang semula port HDMI dan slot kad memori SDXC.  
 
4 port USB-C masih ada di MacBook Pro baru bersama jek audio 3.5mm. Bagi sambungan wayarles, ia menyokong sambungan WiFi 6 802.11ax dan Bluetooth 5.0.  

7. Sehingga 4 paparan luar

  Bagi MacBook Pro dengan kuasa cip M1 Pro, ia boleh menyambungkan sehingga 2 monitor Pro Display XDR beresolusi 6K. Untuk cip M1 Max pula, ia menyokong sehingga 3 monitor Pro Display XDR dan ditambah satu lagi TV 4K serentak. Walaupun dengan semua sambungan ini digunakan, pengguna masih boleh mencucuk fon kepala berwayar dan menyalin data daripada kad SD kerana adanya slot khusus.  

8. Pengecas MagSafe

Satu lagi perkara lama yang kembali muncul adalah pengecas MagSafe 3. Rekaan sambungan magnetik padanya lebih selamat kerana ia akan tercabut daripada laptop jika ada orang tersadung kaki padanya. Untuk kuasa mengecas, MacBook Pro 14 datang dengan pengecas 67W atau 96W. Bagi MacBook Pro 16, ia dibekalkan pengecas 140W. Pengguna yang telah ada pengecas USB-C tidak perlu risau kerana laptop baru ini masih menyokong pengecasan USB-C melalui port Thunderbolt.

9. 6 pembesar suara dan mikrofon kualiti studio

Apple menaik taraf sistem bunyi dengan memasang enam pembesar suara yang menyokong teknologi audio spatial. Ia sama untuk kedua-dua model 14 dan 16. Mikrofon berkualiti studio turut diletakkan pada laptop baru ini, menawarkan nisbah SNR tinggi dan ‘beamforming’.

10. Bateri sehingga 21 jam

  Dengan cip baru Apple Silicon, MacBook Pro memberikan hayat bateri lebih baik berbanding cip Intel. Bateri 70Wh dipasang di dalam MacBook Pro 14, dikatakan boleh memainkan video sehingga 17 jam berterusan. Ini 7 jam lebih panjang berbanding MacBook Pro 13. Bagi MacBook Pro 16, bateri 100Wh di dalamnya memberi tenaga sehingga 21 jam bermain video berterusan. Paling lama dalam barisan MacBook. Pengecasan pantas juga disokong oleh MacBook Pro baru, memberi tenaga sehingga 50% dalam masa 30 minit.

Share with:


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Call Now ButtonHUBUNGI SEKARANG